Guru tuisyen rugi RM886,00O terjerat pelaburan tidak wujud

Guru tuisyen rugi RM886,00O terjerat pelaburan tidak wujud

am@metro.com.my

Pontian: Terpengaruh dengan kenalan media sosial yang berkongsi maklumat pelaburan keuntungan tinggi, guru tuisyen rugi RM886,000 dijerat sindiket pelaburan tidak wujud.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Deputi Superintendan Abd Hamid Abdul Rahaman berkata, mangsa iaitu wanita berusia 43 tahun berkenalan dengan suspek tahun lalu dan ditawar menyertai satu pelaburan melalui aplikasi berkait wang kripto pada 21 September lalu.

“Suspek menjanjikan keuntungan yang tinggi dan berkali ganda terhadap jumlah wang yang dilaburkan.

“Akibat tertarik dengan keuntungan itu, mangsa membuat 30 transaksi pembayaran ke dalam akaun mule yang diberikan oleh suspek sehingga berjumlah RM886,000, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa menyedari tertipu apabila wang modal dan keuntungan dijanjikan tidak diterima sehingga kini.

Abd Hamid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihat lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelak menjadi mangsa dan diminta menghubungi segera talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 sekiranya sudah terjerat untuk tindakan awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top