Guru tuisyen ditemukan maut

Guru tuisyen ditemukan maut

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang guru tuisyen ditemukan terlantar dalam keadaan berlumuran darah dalam sebuah rumah kedai di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover, di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dibuat suaminya pada jam 5 petang.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai mayat wanita itu atas lantai di tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen.

“Mayat wanita itu ditemukan dengan kesan luka di leher dan lengan. Selain itu turut ditemukan pisau lipat berhampiran mayatnya.

“Wanita itu dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai,” katanya hari ini.

Menurutnya lagi, siasatan di tempat kejadian bagaimanapun tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah.

Mohamad Sajidan berkata, suami mangsa mendakwa wanita itu mengalami tekanan selepas mengalami kesakitan atau nanah pada mata, dan kali terakhir berjumpa adalah Khamis lalu.

“Mangsa baru sahaja menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah pada matanya pada 19 Februari lalu. Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan,” katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian mangsa itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher, dengan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top