IPOH: Seorang guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dan lengan dalam sebuah rumah kedai di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintenden Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, laporan penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dibuat suaminya pada pukul 5 petang.
Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian menjumpai wanita itu dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah di atas lantai di tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen.
“Pemeriksaan pada tubuh wanita itu mendapati terdapat kesan kelar pada leher dan lengan selain menemui sebilah pisau lipat berhampiran mayat si mati.
“Si mati dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai. Siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan temubual dengan suami mangsa, wanita itu dipercayai mengelar leher dan lengan disebabkan tekanan ekoran kesakitan pada mata.
Katanya, kali terakhir suami si mati bertemu wanita itu pada Khamis lalu.
“Wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah pada matanya 19 Februari lalu.
“Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan,” katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian wanita itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN