am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis menahan guru sekolah swasta di sini, Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung gangguan seksual terhadap pelajar di sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya sebelum itu menerima dua laporan berhubung kejadian yang dibuat dua mangsa berusia 15 dan 25 tahun.
“Dalam laporan pertama yang diterima pada 18 April lalu, mangsa yang juga bekas pelajar guru terbabit mendakwa diganggu secara seksual melalui hantaran mesej berbaur lucah, selain mengajak melakukan hubungan seks.
“Mangsa tampil membuat laporan polis selepas mengetahui suspek turut melakukan perbuatan sama terhadap pelajar lain.
“Mangsa kedua pula membuat laporan pada 19 April, mendakwa menerima hantaran mesej berbaur lucah daripada suspek sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, susulan kejadian, suspek berusia 34 tahun ditahan pada 4.45 petang Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(a)/11 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.
“Dia kini dalam tahanan reman selama empat hari sehingga 23 April,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd