Guru Mengaku Salah Baling Kerusi, Tarik Rambut Dan Sumbat Kertas Dalam Mulut Pelajar Didenda RM4,900 | Oh! Media

Guru Mengaku Salah Baling Kerusi, Tarik Rambut Dan Sumbat Kertas Dalam Mulut Pelajar Didenda RM4,900 | Oh! Media

Mohd Shapril Ahmad, seorang guru di Muar, Johor mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas empat pelajar dengan tindakan agresif seperti membaling kerusi, menarik rambut dan menyumbat gumpalan kertas ke dalam mulut mereka.

Tertuduh yang berusia 39 tahun membuat pengakuan itu kepada Mahkamah Majistret sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,900 terhadapnya.

Guru hadapi empat pertuduhan kekerasan jenayah

Kredit foto: Harian Metro

Menerusi laporan daripada Harian Metro, bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan tiga pelajar berusia 14 tahun dengan menampar muka serta membaling kerusi ke arah mereka.

Ketiga-tiga kejadian itu telah berlaku di dalam bilik darjah sebuah sekolah menengah di daerah ini, sekitar jam 8.30 pagi pada 13 November tahun lalu.

Untuk pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun dengan memukul belakang kepalanya, menarik rambut dan menyumbat gumpalan kertas ke dalam mulut mangsa.

Perbuatan tertuduh telah berlaku di kelas berasingan pada 8.30 pagi, 6 November tahun lalu. Siasatan polis mendapati kejadian terbabit berlaku ketika tertuduh berada dalam kelas sedang mengajar mangsa.

Bimbang keselamatan anak, ibu bapa mangsa buat laporan polis

Kredit foto: Harian Metro

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, ibu bapa keempat-empat pelajar terbabit dikejutkan dengan panggilan daripada pengetua yang memaklumkan anak mereka menjadi mangsa kekerasan guru (tertuduh) mereka.

Sejurus dimaklumkan, ibu bapa mangsa segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kerana risau akan keselamatan anak mereka. Berikutan laporan tersebut, tertuduh ditahan pada 14 November tahun lalu untuk membantu siasatan berkenaan insiden tersebut.

Majistret Suzana Mokhtar menegur guru itu atas tindakannya yang dianggap melampaui batas dan tidak wajar.

Ini bukan cara untuk mendisplinkan pelajar, kamu patut menjadi contoh kepada mereka tapi bukan dengan cara sebegini.-Katanya

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 13 bulan sekiranya gagal membayar kesemua denda dikenakan terhadapnya. Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 323 dan 352 Kanun Keseksaan.


Scroll to Top