Guru Bahasa Arab dapat RM1 juta menang cabutan BSN SSP

Guru Bahasa Arab dapat RM1 juta menang cabutan BSN SSP

am@hmetro.com.my

Shah Alam : Guru Bahasa Arab memperoleh ‘durian runtuh’ apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-105.

Guru Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana, Mohd Azrien Rajab, 47 berkata beliau tidak menyangka memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak tahun 2008.

Katanya, dia tidak pernah memenangi apa-apa hadiah cabutan sepanjang 16 tahun menyimpan dalam BSN SSP sebelum dipilih sebagai pemenang bagi Oktober.

“Ketika cabutan bagi Oktober dibuat, saya dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari kampung di Bachok, Kelantan.

“Saya dihubungi seorang rakan yang memaklumkan saya memenangi RM1 juta menerusi kempen BSN SSP.

“Pada awalnya saya tidak percaya sehingga dia menghantar pautan pengumuman Facebook Live berkenaan yang kemudian dilihat isteri serta anak-anak saya.

“Alhamdulillah, ternyata ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka kerana saya tidak pernah memenangi walaupun hadiah saguhati,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat BSN Selangor, hari ini.

Mohd Azrien berkata, dia membuat tabungan dalam BSN SSP selepas melihat iklan kempen itu selain turut dimaklumkan oleh kakitangan bank mengenainya.

“Malah, setiap bulan saya akan menambah tabungan RM50.

“Gaji saya juga masuk menerusi BSN jadi saya rasa mudah untuk menambah simpanan apabila saya rasa perlu,” katanya.

Ditanya apakah perancangan selepas memperoleh wang itu, Mohd Azrien berkata rezeki yang diperoleh itu ada bahagian orang lain, jadi dia akan utamakan zakat, sedekah serta infaq.

“Perancangan saya, disamping rezeki kita, ada juga rezeki orang lain. Selepas selesai bahagian sedekah, zakat itu, saya akan simpan untuk laksanakan ibadah haji.

“Saya juga merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran di kampung halaman pada Februari depan supaya hadiah ini juga dapat dinikmati orang lain.

“Saya juga merancang untuk membawa isteri dan anak-anak berjalan sebagai ‘reward’,” katanya.

Dalam pada itu, BSN memaklumkan 3.83 juta penyimpan dalam BSN SSP dengan jumlah simpanan RM5.46 bilion.

Di Selangor, jumlah penyimpan adalah seramai 407,318 orang dengan jumlah RM651 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top