Jitra: Seorang guru agama dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Taman Tunku Sarina di sini musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Abdul Razak Saad, 48, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah jiran sebelum dimaklumkan terdapat api marak di bahagian depan kediamannya.
“Saya di rumah jiran sebab nak tolong halau ular yang masuk ke dalam rumahnya kira-kira 12.20 tengah hari. Tiba-tiba, ada orang beritahu rumah saya terbakar dan saya lari pulang, namun api marak sangat sebab angin kuat.
“Tetapi, syukurlah anak-anak berumur tujuh dan 11 tahun sempat lari keluar menyelamatkan diri, isteri pula memang tiada di rumah kerana keluar bekerja. Kejadian begitu pantas, saya tidak dapat menyelamatkan harta-benda,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Abdul Razak yang mengajar di sebuah sekolah di Tunjang berkata tiga kenderaan termasuk sebuah Perodua Alza yang baru dibeli juga tidak sempat diselamatkan, namun dia reda dan bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan 1.08 tengah hari dan operasi pemadaman berjaya dikawal pukul 2 petang melibatkan kekuatan anggota dari BBP Jitra, BBP Alor Setar dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kodiang dan PBS Padang Sera.
“Kebakaran melibatkan dua rumah dan tiga kereta (diparkir di dalam sebuah rumah). Satu unit rumah terbakar 90 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya lima peratus,” katanya dan menambah punca kejadian serta nilai keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd