am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: ‘Green’, ‘smoke’, ‘weednesday’ dan ‘teh hijau.’
Itu antara kod rahsia atau kata kunci yang digunakan sindiket pengedaran dadah sintetik bagi menjual bahan terlarang itu secara dalam talian melalui laman gelap (dark web) dan laman jualan e-dagang termasuk media sosial serta aplikasi sembang.
Sindiket juga dipercayai sentiasa menukar kod rahsia mereka sekiranya barangan jualan mula dikesan atau disekat pemilik platform berkenaan.
Pelanggan yang berminat akan menghubungi pemilik akaun melalui mesej langsung (DM) untuk urusan pembelian dan bekalan dadah sintetik seperti pil kuda, syabu serta ekstasi itu kemudiannya dihantar melalui perkhidmatan kiriman cepat atau orang persendirian.
Taktik sindiket yang memanipulasi platform dalam talian itu dipercayai mensasarkan golongan muda terutama pelajar kerana ia mudah dibeli tanpa pengetahuan ibu bapa.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, inilah taktik yang paling merisaukan kerana dengan semudah di hujung jari, sindiket dan pengguna boleh membuat pesanan, mengatur cara perjumpaan serta bayaran tidak kira di mana berada.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah mencari dan berkomunikasi dengan keldai dadah atau pelanggan menerusi laman gelap dan aplikasi media sosial dengan menggunakan kod nama bagi jenis dadah dijual.
“Modus operandi ini mudah, cepat dan bebas bagi kedua-dua pihak. Aktiviti penjualan dan pembelian dadah dalam talian di negara ini semakin popular dan membimbangkan terutama kalangan belia.
“Apabila kedua-dua pihak mendapat habuan masing-masing, situasi ini sebenarnya mampu mendorong mereka secara psikologi untuk meneruskan kemahuan gelap atau dark personality traits,” katanya.
Beliau berkata, sindiket pengedaran dadah mula menjadikan Malaysia sebagai transit penyeludupan dadah yang kebanyakannya berasal dari negara segi tiga emas, berikutan kedudukan negara ini yang strategik.
Menurutnya, pihaknya percaya dadah berkenaan dihantar ke negara lain seperti Indonesia, Australia dan Singapura.
“Antara strategi sindiket dadah ini adalah melalui pembolosan sempadan dan penyamaran melalui individu atau perkhidmatan kurier.
“Sehingga kini, kesemua dadah jenis syabu yang dirampas di Malaysia pada 2023 mencecah 11.2 tan iaitu buat pertama kalinya melebihi 10 tan berbanding tahun sebelum itu. Kebanyakan rampasan ini adalah hasil penyeludupan dari segi tiga emas yang masih aktif sehingga kini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd