Guna jam 11 pagi hingga 4 petang

Guna jam 11 pagi hingga 4 petang

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengguna Jalan Raya Timur-Barat disaran melalui laluan terbabit antara jam 11 pagi hingga 4 petang bagi mengurangkan risiko bertembung dengan gajah.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, ini kerana gajah kurang aktif pada waktu berkenaan dan kebiasaan akan berehat dalam hutan terutama ketika cuaca panas.

Menurutnya, berikutan itu pengguna jalan raya digalakkan merancang perjalanan sebaik-baiknya.

“Jam 11 pagi sehingga 4 petang itu bukan semestinya tak ada gajah, tetapi potensi gajah di tepi jalan memang rendah.

“Jika cuaca hujan atau redup, ada potensi (gajah keluar melintas jalan). Malah, waktu senja, malam dan awal pagi dari jam 5 petang sehingga 10 pagi, memang potensi tinggi (gajah keluar melintas jalan),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegur segelintir pengguna jalan raya yang dikesan melakukan provokasi terhadap kawanan gajah sebagaimana beberapa video tular, baru-baru ini.

“Antara video kita tengok itu… ada motosikal pergi ‘acah’ pula gajah. Ada satu kes, saya tengok gajah di tepi jalan, dia (penunggang motosikal) bunyikan hon hingga gajah serang kereta berdekatan.

“Jika nampak (gajah) dari jauh, berhentikan kenderaan dan tunggu dia masuk ke hutan. Jangan pergi dekat, jangan bunyikan hon, jangan pasang lampu tinggi dan jika boleh, padamkan lampu kereta,” katanya.

Katanya, Perhilitan juga tidak akan menangkap gajah di Jalan Raya Timur-Barat kerana kawasan berkenaan habitat mamalia itu.

“Setakat ini, kita sudah pasang papan tanda amaran gajah di 16 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan lintasan binatang liar itu di sepanjang Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli,” katanya.

Bagi laluan dari Gerik ke Jeli, kawasan itu babitkan Seksyen 123.7, Seksyen 126.0, Seksyen 135.8, Seksyen 145.9, Seksyen 154.4, Seksyen 161.0, Seksyen 173.1, Seksyen 175.9 dan Seksyen 181.0.

Manakala bagi laluan Jeli ke Gerik, papan tanda amaran dipasang di Seksyen 198.7, Seksyen 180.2, Seksyen 173.7, Seksyen 169.9, Seksyen 167.9, Seksyen 164.3 dan Seksyen 145.5.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top