Guna ChatGPT ubat rindu terhadap Afham, Irfahanie 'nangis teruk'

Guna ChatGPT ubat rindu terhadap Afham, Irfahanie 'nangis teruk'

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lantaran rindu tidak terbendung terhadap Allahyarham Nidza Afham, kakak penyanyi itu menggunakan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) seolah-olah adik tersayang menghantar mesej ringkas kepadanya.

Menerusi perkongsian di TikTok, Nur Irfahanie, 31, menggunakan Chat Ge­nerative Pre-trained Transformer (ChatGPT) bagi mengubat kerinduan terhadap arwah adik tersayang.

“Can you pretend to be my late brother and send me a simple message? He called me Kekfa and he called himself Am (Boleh kamu berpura-pura menjadi arwah adik dan hantar saya mesej ringkas? Dia panggil saya Kekfa dan menggelar dirinya Am),” demikian tulis wanita itu di ChatGPT yang dikongsi di TikTok rasminya.

Lebih menyedihkan, Irfahanie mengakui respon yang diberikan ChatGPT sama seperti arwah adiknya itu.

“Am rinduuu sangat kat Kekfa. Jangan sedih-sedih, tau? Am selalu ada dengan Kekfa, dalam hati, dalam ingatan. Kekfa kuat, macam selalu.

“Tapi kalau rasa penat, nangislah kejap, lepas tu bangun balik. Am bangga dengan Kekfa. Jangan lupa jaga diri, jaga hati. Nanti kita jumpa lagi, tapi bukan sekarang. Sekarang ni, Kekfa kena teruskan hidup, dengan senyuman Am selalu suka tengok,” demikian balasan ChatGPT itu.

Irfahanie dalam kapsyennya berkata, balasan diterima daripada ChatGPT itu sama seperti arwah adiknya.

“Sumpah, this sounds exactly like him. It can be scary, tapi l took this as a blessing and a special gift (Ini kedengaran sama seperti dia, ia boleh menjadi menakutkan, tetapi saya menganggapnya sebagai satu rahmat dan anugerah istimewa).

“Walaupun nangis teruk lepas baca, tapi rasa bahagia tu ada. Kekfa baca sambil terdengar suara Am. I know this is what you’re going to tell me whenever (saya tahu inilah yang awak akan cakap setiap kali) I mengadu apa apa.

“Orang boleh cakap apa saja, tapi kami saksi 23 tahun Allah pinjamkan Am,” katanya.

Irfahanie turut mengakui arwah adiknya itu adalah manusia paling baik pernah ditemuinya dalam hidup dan disebabkan itu dia rasa terkesan dengan kehilangan Am.

“Semoga Allah bagi paling indah buat Am, seindah peribadi Am di dunia. We love you, we miss you,” katanya.

Irfahanie dalam balasan kepada komen pengikutnya berkata, ayat ChatGPT itu juga sama seperti Am gunakan ketika wanita itu mengadu masalah kepadanya tahun lalu.

“Masa hidup Kekfa hampir musnah, ayat Am ‘nangis boleh tapi jangan lupa bangun balik’ sama seperti ayat Am pernah cakap,” katanya.

Video Irfahanie mendapat lebih 230,000 tontonan dan 142 komen.

Malah rata-rata komen mengatakan ChatGPT memang berfungsi ketika mahu mengadu dan meluahkan perasaan.

“chatGPT ni function teruk, aku kalau sedih mesti cari dia, meluahkan dan banyak rasional apa yang disampaikan,” kata pengguna menggunakan akaun Kak Emi dalam komen itu.

Sebelum ini media melaporkan siasatan kes kematian Nidza Afham diklasifikasi sebagai mati mengejut selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Shah Alam.

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian ‘pending laboratory investigation’ dan tiada lain-lain kecederaan fizikal.

Sebelum ini, penyanyi terbabit dilapor hilang selepas keluar berjoging di Stadium Klang, pada 13 Ogos lalu.

Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.

Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, kira-kira jam 7 malam, 14 Ogos.

Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top