Gudang terbakar, permaidani RM30 juta hangus

Gudang terbakar, permaidani RM30 juta hangus

am@hmetro.com.my

Nilai: Persiapan membuat jualan siaran langsung TikTok bertukar musibah apabila sebuah gudang dan kedai Permaidani dekat Jalan Nilai 3/5, Pusat Borong Nilai 3, di sini, musnah terbakar kira-kira 7.45 pagi tadi, mengakibatkan kerugian dianggarkan RM30 juta.

Pengarah urusan syarikat kedai berkenaan, J Rajesh, 40-an, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengawal keselamatan yang terdengar bunyi pelik sebaik sahaja suis utama dihidupkan.

“Sebelum itu, saya sudah beritahu pekerja itu supaya memasang suis utama bagi persediaan membuat penstriman TikTok apabila kedai dibuka 8 pagi nanti.

“Tiba-tiba dia hubungi saya maklumkan terdengar bunyi pelik ketika buka suis utama, jadi saya minta dia pantau keadaan sebelum ada orang awam dari seberang jalan menjerit memberitahu asap keluar dari kedai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rajesh berkata, dia tidak tahu apa punca sebenar kejadian itu dan pasukan Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan.

Mengenai kerugian yang ditanggungnya, Rajesh menjelaskan dia baru saja menambah stok permaidani sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan Aidilfitri, namun semuanya musnah terbakar dengan kerugian dianggarkan bernilai RM30 juta.

“Memang terkejut dengan kejadian kerana kami baru ambil banyak Permaidani . Apapun, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku kerana pekerja belum masuk bekerja,” katanya yang menggajikan 50 kakitangan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Nor Arifin Kamari berkata, kebakaran menyebabkan kedai dan gudang permaidani itu musnah 100 peratus.

“Kami menerima panggilan 7.49 pagi sebelum petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai dengan bantuan BBP Mantin, Seremban 2 serta Rantau dengan kekuatan 58 keanggotaan ke lokasi.

“Kami berjaya mengawal api dan proses pemadaman masih diteruskan. permaidani yang banyak dan keluasan kedai ini menyebabkan proses pemadaman mengambil masa antara tiga ke enam jam,” katanya.

Katanya, selain gudang itu, kebakaran turut merebak ke hutan di bahagian tepi premis dan menyebabkan kebakaran seluas kira-kira 0.2 hektar, namun berjaya dikawal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top