Guanyu diumum sebagai pelumba simpanan Ferrari

Guanyu diumum sebagai pelumba simpanan Ferrari

London: Ferrari mengumumkan pelantikan Zhou Guanyu sebagai pemandu simpanan Formula Satu (F1) selepas pelumba China itu kehilangan tempatnya di Sauber.

Guanyu, 25, yang pernah menjadi anggota Akademi Ferrari, akan berkongsi peranan bersama pemandu Itali, Antonio Giovinazzi, yang turut terikat dengan komitmen Kejuaraan Dunia Endurance (WEC) bersama pengeluar dari Maranello itu.

Pelumba pertama China dalam F1 itu beraksi selama tiga musim bersama Sauber, mencatatkan 68 perlumbaan grand prix dengan 16 mata serta dua pusingan terpantas.

Kekosongan sebagai pemandu simpanan Ferrari timbul selepas Oliver Bearman dari Britain, yang sebelum ini bertindak sebagai pelumba gantian dalam tiga perlumbaan tahun lalu, berpindah ke pasukan Haas yang menggunakan enjin Ferrari.

Guanyu juga mempunyai kaitan dengan pasukan baharu Cadillac yang disokong General Motors dan merancang untuk menyertai F1 pada 2026.

Graeme Lowdon, individu yang terbabit dalam pengurusan Guanyu, adalah prinsipal pasukan itu, dan mereka dijangka menggunakan enjin serta kotak gear Ferrari sebelum General Motors memperkenalkan enjin sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top