Kuala Lumpur: Grab Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BYD Sime Motors, Yinson Green Technologies (M) dan Power-Up Tech (P.UP) untuk memacu penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakan-pemandu Grab di seluruh negara.
Kerjasama ini bertujuan menggalakkan penggunaan EV dan menyediakan kemudahan EV yang senang diakses untuk rakan-pemandu Grab, sambil mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada Ekonomi Hijau Malaysia.
Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara, Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, sebagai platform utama untuk perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran atas permintaan, Grab komited untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil membawa impak sosial yang positif.
“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja menyokong agenda kelestarian Malaysia, tetapi juga memperkasakan rakan-pemandu kami dengan akses kepada alternatif lebih hijau.
“Melalui kerjasama dengan peneraju industri utama, kami berhasrat untuk mempercepatkan penggunaan EV dan memacu manfaat jangka panjang untuk komuniti dan alam sekitar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd