Govinda perkukuh kedudukan

Govinda perkukuh kedudukan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

BAND Indonesia, Govinda kini tidak asing dalam kalangan peminat muzik Malaysia, terutama pemain gitarnya yang juga komposer, Ade Nurulianto.

Ia berikutan kerjasama Ade bersama penyanyi, Ernie Zakri sangat menjadi apabila lagu Hal Hebat dan Masing Masing mencetus fenomena tersendiri di pasaran muzik dua negara berjiran ini.

Yang pasti, kehadiran Govinda ke Malaysia bagi menjayakan Konsert Govinda Hal Hebat di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata sangat hangat dengan sambutan meriah penonton.

Ditambah lagi, pembabitan beberapa penyanyi dari Malaysia dan Indonesia yang diundang muncul bersama di konsert itu adalah keputusan tepat untuk lebih menghiburkan suasana.

Selain Ade, Govinda turut dianggotai Ifan (penyanyi), Luki (bass), Jeje (dram) dan Ferry Kurniawan (keyboard).

Membuka tirai persembahan konsert, Ifan menyanyikan lagu seperti Bawa Aku Lari, Karya Seni, Rahasia Besar dan Cinta Terakhir daripada album Govinda Live Session London 2023.

Menurut Ifan, perjalanan karier muzik Govinda agak berliku untuk sampai pada tahap sekarang dan kehadiran album Govinda Live Session London 2023 adalah sangat bermakna buat mereka.

“Selepas 13 tahun berusaha keras memajukan muzik kami, akhirnya Allah memberi rezeki untuk menghasilkan sebuah album istimewa yang rakamannya kami buat di Studio Abbey Road, London tahun lalu.

“Lebih bermakna lagi, kesemua lagu di dalam album ini dirakam secara ‘live’ di studio terkemuka di dunia itu sekali gus merealisasikan impian besar Govinda selama ini,” katanya.

Ifan berkata, Govinda juga bersyukur penjualan album itu berjaya di pasaran muzik Indonesia dan Malaysia, termasuk lagu Episode Bahagia bertahan dalam carta lagu popular di radio.

Bagi meneruskan hiburan lagi, Ifan muncul berduet dengan Aina Abdul untuk dua lagu iaitu Tentang Rasa ciptaan Ade buat penyanyi Astrid pada 2010 dan Episode Bahagia dengan vokal mantap.

Diikuti selepas itu, didendangkan pula lagu Mantan Terbaik, Rindu Menyiksa dan Setengah Mati Merindu yang pernah dipopularkan Judika pada 2009, namun secara duet bersama Ian Joshua dari Indonesia.

Kerjasama duet Ifan di pentas berlanjutan dengan kemunculan penyanyi Padi, Fadly menerusi lagu Begitu Indah. Malah, bagi melengkapkan nyanyian solo pula, Fadly menghiburkan penonton dengan lagu Tanpa Batas Waktu.

Kemunculan penyanyi asal Sabah, Elica Paujin berduet dengan Ifan untuk lagu Mendua nyanyian asal Astrid juga cukup bertenaga. Namun, ‘ujian’ vokal Elica terbukti menerusi lagu Kamu Adalah yang ditonton secara langsung penyanyi asalnya, Cakra Khan.

Puas hati dengan vokal Elica yang dipanggil Ifan ‘diva Borneo’, penonton kemudian dihiburkannya dengan dua lagu lagi iaitu Satu Frekuensi dan Engkau Laksana Bulan yang pernah dinyanyikan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Walaupun berlangsung pada cuti sambutan Deepavali di Malaysia, kira-kira 2,000 penonton hadir menyaksikan Konsert Govinda Hal Hebat itu. Bahkan, dihadiri juga selebriti terkenal dari dua negara seperti Anuar Zain, Fattah Amin, Cakra Khan dan Ifan Seventeen.

Ade suka kerja dengan Ernie

Walaupun muzik bersifat ‘universal’, namun difahamkan bukan mudah untuk penyanyi dari Malaysia menembusi pasaran industri seni Indonesia, namun ada rezeki buat Ernie.

Kerjasama dengan Ade yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil yang sama sekali tidak dijangkakan oleh kedua-dua mereka dan ternyata ketentuan takdir itu urusan Allah.

Ade berkata, dia amat berterima kasih dengan Ernie apabila setuju bekerjasama untuk merakamkan lagu Hal Hebat versi vokal wanita, dua tahun lalu yang sebelum itu dinyanyikan oleh Ifan.

“Selepas Hal Hebat berjaya disukai peminat di Malaysia, Ernie tanya lagu baharu kepada saya untuk dia rakamkan. Saya suka bekerja dengan Ernie kerana kami sama-sama saling membantu.

“Jadi, apabila melodi dan lirik lagu Masing Masing saya siapkan, terus dikirim mesejnya kepada Ernie untuk didengar dan dia suka. Lagu Masing Masing itu mengisahkan perhubungan,” katanya.

Menutup persembahan konsert malam itu, Ernie muncul menyanyikan lagu hit, Masing Masing dan berduet dengan Ifan untuk lagu Hal Hebat yang sememangnya ditunggu-tunggu penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top