London: Pengurus kepada pelari sensasi, Australia Gout Gout sekali lagi menggesa orang ramai supaya berhenti membandingkannya dengan Usain Bolt.
Gout Gout, 16, mula mendapat perhatian ketika berusia 14 tahun apabila dia memecahkan salah satu rekod lama pemenang lapan pingat emas Olimpik, Bolt.
Pada Ogos, dia mengatasi rekod acara 200m Bolt yang dilakukan di Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun, dengan mencatatkan masa 20.60 saat (s).
Awal bulan ini dia mencatatkan nama sebagai pelari Australia yang merekodkan masa terpantas dalam tempoh 31 tahun dengan catatan 20.29s dalam acara 200m di Kejohanan All Schools Queensland.
Kejayaannya sebelum itu menarik penajaan yang menawarkan nilai tajaan yang tinggi.
Sebagai sebahagian daripada penajaan itu, dia menerima tawaran untuk berlatih bersama pemenang pingat emas Olimpik dan bintang pasukan Amerika Syarikat (AS), Noah Lyles.
Walaupun mendapat pujian, jurulatihnya meminta orang ramai untuk bersikap tenang.
Namun pengurus Gout, James Templeton, berkata adalah tidak wajar untuk membanding seorang atlet muda dengan mereka yang sudah mempunyai nama dalam dunia olahraga.
“Saya mengelak daripada menggunakan perbandingan ‘UB’ (Bolt). Saya rasa itu tidak adil untuk seorang atlet muda.
“Selama 18 bulan, saya memberi jawapan ‘tidak’ kepada setiap saluran media di Australia yang bertanya. Kami hanya mahu membiarkan dia menjadi seorang remaja biasa di sekolah.
“Kami tidak mahu dia terganggu dengan sebarang perkara. Semua itu akan datang pada masa depan.
“Kami mahu hidupnya kekal normal selama yang boleh. Tetapi dunia moden dengan video viral, walaupun kami menolak media, dia tetap menjadi viral dan kini semua orang mula mengenalinya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd