Gonzalez buktikan masih berbisa

Gonzalez buktikan masih berbisa

PETALING JAYA: Alvaro Gonzalez membuktikan dia masih memiliki sentuhan ‘pemusnah’ apabila dua gol jaringannya, membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 2-1 ke atas ke atas Central Coast Mariners pada aksi Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Pada aksi di Stadium Central Coast, di Gosford, Australia, meskipun dianggap sebagai ‘kuda tua’, Gonzalez yang menandatangani kontrak singkat bersama JDT berjaya memberi impak besar kepada skuad Harimau Selatan dalam penampilan pertamanya.

Gonzalez, 33, yang pernah beraksi bersama kelab Al Nassr FC di Liga Arab Saudi muncul wira skuad Harimau Selatan tatkala bergelut berdepan lawan yang beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Dylan Peroic Cullen dilayangkan kad merah.

Dia membuka tirai jaringan peribadinya bersama JDT pada minit ke-64 namun kedudukan itu disamakan pemain Central Coast Mariners, Alou Kuol enam minit kemudian.

Gonzalez sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada minit ke-79 untuk memastikan JDT pulang dengan tiga mata berharga ke Johor Bahru.

Pemain kelahiran Potes, Sepanyol itu berkata, sepanjang tujuh bulan dia terpaksa menjalani latihan di rumah, malah tidak beraksi di perlawanan kompetitif, namun keupayaannya membantu JDT meraih kemenangan dalam perlawanan itu amat menakjubkan.

“Ia jaringan penting buat pasukan ini, kelab ini dan diri saya sendiri kerana saya hanya menjalani latihan di rumah sepanjang tujuh bulan dan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif malah latihan intensif bersama JDT selama seminggu juga banyak membantu.

“Saya gembira kerana kelab ini memberi keyakinan yang tinggi buat saya dan kemenangan ini sudah tentu untuk keluarga saya dan termasuk kelab ini dan sememangnya bukan mudah menyesuaikan diri dengan pantas bagi mengenali corak permainan JDT,” katanya.

Gonzalez dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, turut memuji kelibat Arif Aiman dan Afiq Fazail yang jelas beraksi dengan baik malah corak permainan yang diterapkan oleh Hector Bidoglio juga mirip gaya permainan di Sepanyol.

“Walaupun saya bersama Roque (Mesa) dan Jonathan (Viera) masih baru di JDT tapi corak permainan yang sama jelas tidak mengundang rasa kekok malah kombinasi yang dibentuk bersama pemain lain juga beri impak positif dalam permainan,” jelasnya.

Dia juga berharap Mesa segera pulih dan kembali beraksi pada aksi terakhir menentang kelab Korea Selatan, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa depan selepas pemain itu mengalami kecederaan selepas beraksi selama 23 minit.-UTUSAN

Scroll to Top