Golf Amal Mazda kutip dana RM1 juta

Golf Amal Mazda kutip dana RM1 juta

Shah Alam: Syarikat pengedar kenderaan jenama Mazda, Bermaz Motor Sdn Bhd berjaya mengumpul kira-kira RM1 juta sumbangan untuk disalurkan kepada Tabung Perubatan Mazda (MMF) sebelum diagihkan kepada pelbagai pertubuhan kebajikan di seluruh negara menerusi penganjuran Kejohanan Golf Amal Mazda ke-10 di Glenmarie Golf & Country Club, di sini, Rabu lalu.

Empat pertubuhan kebajikan iaitu Tabung Kebajikan Penyakit Kanser Mount Miriam Pulau Pinang, Pertubuhan Kebajikan Perlindungan Jotti, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Cacat Perlindungan Selangor serta Pertubuhan Pengurusan Rumah Safiyyah antara yang bertuah menerima dana daripada MMF.

Penganjuran kejohanan itu menyaksikan hampir 200 peserta bersaing di lapangan golf sambil menderma dengan menyaksikan kutipan berjaya dikumpul mencecah RM905,302.

Lebih membanggakan, jumlah kutipan itu melebihi hasil sumbangan tahun lalu yang berjumlah RM800,000, sekali gus menjadi dana terkumpul paling tinggi dicatatkan sepanjang penganjuran Golf Amal Mazda untuk MMF.

MMF ditubuhkan pada 2015 bertujuan memberikan bantuan kebajikan meliputi soal kemanusiaan dan perubatan kepada golongan kurang bernasib baik di seluruh negara dan aktif menyokong golongan kurang bernasib baik seperti rumah orang tua dan rumah anak yatim melalui bantuan kewangan dan acara amal.

Ia juga berperanan membantu pesakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) yang memerlukan rawatan hemodialisis menerusi kerjasama syarikat pengimport tunggal Mazda, Prima Merdu Sdn Bhd dan B Braun Avitum Renal Services (BARS) di 13 pusat dialisis seluruh negara.

Sebelum ini pada 2018, Bermaz Motor tampil dengan cara tersendiri mencari dana dengan memperkenalkan Kad Keistimewaan Mazda (MPC) di mana yuran pendaftaran RM100 akan terus disumbangkan kepada MMF bagi memperkukuh usaha kebajikannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top