SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menitahkan agar nasib kanak-kanak yang dikaitkan dengan institusi kendalian syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. di negeri ini yang diselamatkan baru-baru ini supaya dibela.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memberitahu, perkara itu juga hasil ketetapan dalam Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang bersidang pagi tadi.
Menurut beliau lagi, Tuanku Muhriz turut menitahkan cadangan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kanak-kanak yang tidak diambil ibu bapa mereka agar terus mendapat pendidikan perdana sekali gus kembali kepada masyarakat.
“Mereka yang diambil ibu bapa juga akan dipantau dari masa ke masa supaya kanak-kanak berkenaan mendapat pendidikan. Di negeri ini ada kira-kira 400 kanak-kanak berusia empat hingga 15 tahun yang nasibnya akan dibela.
“Kanak-kanak ini sebelum ini di bawah institusi terkait GISBH di empat daerah di negeri ini iaitu Seremban, Rembau, Kuala Pilah dan juga Jelebu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keputusan untuk mengeluarkan fatwa amalan dan kepercayaan GISBH di negeri ini untuk diharamkan, Aminuddin menegaskan belum ada lagi ketetapan mengenainya diambil.
Menurut Aminuddin. Mufti Negeri Sembilan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin ada menyatakan amalan serta kepercayaan GISBH adalah melanggar ketetapan sedia ada sama seperti ajaran al-Arqam sebelum ini.
Setakat ini tiga negeri mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.
Sebelum ini, Mohd. Faudzinaim dilaporkan berkata, ajaran dan kepercayaan GISBH hanya mengulang kembali ajaran Al-Arqam dahulu iaitu mengenai Abuya Asyaari, Imam Mahdi, menggunakan Aurad Muhammadiah dan beberapa perkara lain yang telah difatwakan dahulu.
“Atas kesamaan itu, penguatkuasaan dibuat. Perbezaan antara dulu dan GISBH adalah penekanan terhadap ketaksuban yang melampau daripada segi mentaati dan pelaksanaan setiap arahan pemimpin tertinggi, GISBH lebih kuat, ketaksuban yang dibina tidak berasaskan ilmu,” katanya.-UTUSAN.