Gergasi Merah terus mengganas

Gergasi Merah terus mengganas

PETALING JAYA: Selangor FC terus menunjukkan taringnya dalam saingan Liga Super apabila membenam Sri Pahang 2-0 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Gergasi Merah yang tampil garang di hadapan penyokong sendiri hanya memerlukan 14 minit untuk membocorkan benteng lawan menerusi sentuhan berbisa Ali Olwan.

Pemain Jordan itu memperdayakan barisan pertahanan Tok Gajah sebelum melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.

Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi terus mengasak dan hasilnya, mereka menggandakan kelebihan pada minit ke-39.

Kali ini, giliran Ronnie Fernandez mencetak nama sebagai penjaring selepas menerima hantaran cantik daripada Quentin Cheng sebelum menyudahkan dengan rembatan padu yang menggegarkan gawang Sri Pahang.

Selangor hampir menambah gol ketiga apabila Olwan sekali lagi menggegarkan jaring pada minit ke-56, namun jaringan itu dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Quentin sebelum melakukan hantaran kepadanya.

Sri Pahang yang masih segar dengan kejayaan mara ke final Piala Malaysia cuba bangkit, namun barisan serangan mereka buntu mencari penyudah berbisa.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-65 menerusi sepakan lencong Kpah Sherman, namun sayangnya bola sekadar singgah di tiang gol, meranapkan harapan skuad kendalian Fandi Ahmad itu untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Dengan kemenangan ini, Selangor terus kukuh di tangga kedua Liga Super dengan 42 mata selepas 19 perlawanan, tetapi masih jauh ketinggalan 13 mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang semakin hampir mempertahankan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut.

Lebih manis, kemenangan ke-13 Selangor musim ini membolehkan mereka menjarakkan kedudukan 10 mata dari pasukan tangga ketiga, Sabah, yang masih berbaki dua perlawanan.

Bagi Sri Pahang, kekalahan ini meletakkan mereka dalam situasi getir apabila kekal di tangga ke-11 dengan hanya mengumpul 16 mata daripada 17 perlawanan, sekali gus terus bergelut di zon bawahan liga. – UTUSAN

Scroll to Top