sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan Sri Pahang 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan Red Giants terus mengukuhkan cengkaman di tempat kedua diikuti Sabah yang ketika ini berusaha mengejar mereka.
Tuan rumah memerlukan 14 minit untuk berada di depan menerusi penyudah Ali Olwan yang mudah melepasi pemain Sri Pahang sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Ronnie Fernandez mengukuhkan kedudukan 2-0 selepas menerima hantaran Quentin Cheng pada minit ke-39.
Olwan hampir mencetak jaringan kedua peribadi pada minit ke-56, namun dibatalkan selepas pengadil Zamzaidi Katimin meneliti video bantuan pengadil (VAR) yang menyaksikan bola terkena tangan Quentin sebelum dia membuat umpanan kepada pemain Jordan itu.
Sri Pahang terpaksa menggigit jari selepas beberapa percubaan mereka gagal menemui jaringan termasuk sepakan lencong Kpah Sherman pada minit ke-65 yang singgah di tiang gol.
Selangor kini mengumpul 42 mata selepas mengharungi 19 perlawanan dan menjarakkan diri dari pasukan tangga ketiga, Sabah kepada 10 mata, namun skuad Sang Badak masih kekurangan dua perlawanan.
Sementara itu, Sri Pahang yang menyingkirkan Selangor dalam pusingan 16 Piala Malaysia kekal di kedudukan ke-11 apabila hanya menghimpun 16 mata daripada 17 perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd