KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan pengumuman gencatan senjata di Semenanjung Gaza sebagai bukti kegagalan rejim Zionis-Israel mencapai matlamat mereka.
Beliau berkata, Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani, dalam sidang media telah mengumumkan kejayaan rundingan gencatan senjata yang dipersetujui oleh HAMAS, kumpulan pejuang Palestin dan rejim Zionis.
“Ia sekali gus menamatkan perang dan kekejaman rejim Zionis-Israel selama 15 bulan di Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 46,707 warga Palestin dengan lebih 110,265 yang lain dilaporkan cedera.
“Semenanjung Gaza ketika ini hampir 70 peratus musnah, hampir tiada kemudahan asas dan dalam keadaan amat memerlukan khususnya makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, gencatan senjata itu akan bermula Ahad ini, dengan fasa pertama berlangsung selama 43 hari sebelum beralih kepada ‘permanent ceasefire’ sekiranya syarat-syarat dipatuhi.
ADUN Batu Buruk itu turut memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan kini mula memasuki Gaza melalui pintu sempadan Rafah, dengan berita ini disambut gembira oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat, dan negara-negara Islam seperti Yaman, Lubnan, Iran, Iraq, dan Turkiye.
“Sepanjang konflik ini berlangsung, Zionis-Israel gagal mencapai objektif yang ditetapkan khususnya untuk menghancurkan HAMAS. Sokongan rakyat Palestin kepada HAMAS tidak berbelah bagi,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa keteguhan iman, kesabaran, dan doa rakyat Palestin telah memainkan peranan penting dalam menghadapi kezaliman rejim Zionis.
“Sama-sama kita doakan agar saat ini, bermulalah keruntuhan negara haram Zionis Israel dengan warga Palestin akan mula mengecapi kebebasan dan kemerdekaan serta bebaslah Masjid Al-Aqsa dari kepungan rejim Zionis Israel. Allahuakbar!” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2025