Tahanan berkenaan dijangka tiba di kawasan Radana, Ramallah sekitar tengah hari Khamis. Foto Reuters
PIHAK Berkuasa Israel membebaskan 110 tahanan termasuk 30 kanak-kanak sebagai sebahagian daripada pertukaran dalam perjanjian gencatan senjata Gaza yang dipersetujui dengan Hamas.
Menurut sebuah kumpulan advokasi tahanan Palestin, ia membabitkan 30 tahanan berusia bawah 18 tahun, 32 tahanan yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 48 lagi tahanan yang sedang menjalani hukuman penjara dengan tempoh berbeza.
Menurut kumpulan itu, tahanan berkenaan dijangka tiba di kawasan Radana, Ramallah sekitar tengah hari Khamis.
Sebelum ini menerusi dua pertukaran, tujuh tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran bagi 290 tahanan yang hampir kesemuanya rakyat Palestin, kecuali seorang warga Jordan.
Pada masa sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, lima warga Thailand dan tiga rakyat Israel yang ditahan kumpulan Palestin di Gaza turut dijadualkan dibebaskan pada Khamis, di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas.
Menurut pejabat Netanyahu, Arbel Yehud, Agam Berger dan Gadi Moses akan dibebaskan pada Khamis bersama lima warga Thailand, yang namanya tidak didedahkan.
Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu bergantung kepada pertukaran tahanan Israel yang ditahan oleh kumpulan Palestin di Gaza dengan warga Palestin yang dipenjarakan di Israel. – Awani