'Gemuruh pentas tak pernah habis' – Amy Search

'Gemuruh pentas tak pernah habis' – Amy Search

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun lebih 40 tahun menjadi penyanyi, Datuk Amy Search, 66, masih berdepan rasa gemuruh untuk menjayakan konsert solonya Sabtu ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Namun, Amy tidak meletakkan perasaan sebegitu sebagai tekanan kerana ia adalah normal.

“Memang saya punya gemuruh pentas tidak pernah habis-habis walaupun sudah menyanyi lebih 40 tahun. Sekarang pun sudah rasa gemuruh itu dan otot-otot saya rasa semakin lembik.

“Dalam seminggu atau 10 hari sebelum konsert, saya akan sangat ‘moody’, sensitif dan banyak berfikir. Perjalanan menuju konsert itu kadang-kadang ada masanya terlalu terhad.

“Tapi saya tak anggapnya sebagai tekananlah. Ia adalah satu perjalanan untuk capai impian itu,” katanya ditemui pada sesi latihan Konsert Solo Pertama Amy Search Magic, semalam.

Bekerja bersama 13 pemuzik di bawah kendalian penerbit konsert, Jennifer Thompson juga memberikan pengalaman baharu cukup bermakna buat Amy.

“Saya tak pernah melihat terperinci bahagian-bahagian produksi sebegini misalnya pemain ‘horn’ ada tiga kru, pantau gubahan-gubahan menerusi ‘laptop’. Saya tak pernah kerja macam ini.

“Lain daripada yang lainlah. Ini pengalaman baharu. Pengarah muzik pastinya setiap hal ‘on point’ termasuk fokus kepada setiap sesi setiap hari. Sangat tepat dan terperinci,” katanya.

Bakal menyanyikan lebih 20 lagu, Amy tidak sabar melihat peminatnya datang dengan gaya fesyen tersendiri.

Menurutnya, dia mahukan konsert itu sebati dengan identiti dirinya yang memang ‘gila’ fesyen juga.

“Temanya adalah penonton kena datang cukup ‘fashionable’, bergaya glamor atau mungkin berkaca mata hitam yang sesuai dengan perjalanan konsert itu nanti yang penuh berwarna-warni.

“Muzik saya sama taraf dengan cita rasa fesyen saya. Banyak gaya dan konsert itu adalah cerminan sepenuhnya mengenai diri sayalah,” katanya.

Sebelum ini, Rock It Like Amy diumumkan sebagai tema konsert sekali gus menggalakkan peminat untuk mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n’ roll.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top