
Gempa bumi berukuran 5 pada skala Richter melanda Wilayah Nagano di Jepun pada Jumaat malam – Gambar hiasan
TOKYO – Gempa bumi berukuran 5 pada skala Richter melanda Wilayah Nagano di Jepun pada Jumaat malam, namun tiada ancaman tsunami dikesan, menurut Agensi Meteorologi Jepun seperti dilaporkan Xinhua.
Gempa berlaku pada jam 8.19 malam waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer (km), dengan intensiti seismik tahap lima bawah pada skala Jepun direkodkan di Bandar Omachi, Kampung Chikuhoku dan Kampung Ogawa.
Agensi Meteorologi Jepun mengesahkan bahawa tiada risiko tsunami akibat gempa bumi itu.
Gangguan bekalan elektrik dilaporkan di beberapa kawasan di Kampung Ogawa, namun sehingga 9 malam, tiada kecederaan dilaporkan oleh jabatan bomba tempatan, menurut laporan media tempatan.
Gempa bumi itu turut menjejaskan perkhidmatan pengangkutan. JR East menghentikan sementara operasi Shinkansen Hokuriku antara Stesen Karuizawa dan Itoigawa sejurus selepas kejadian. – Bernama