Gary Neville tak yakin Liverpool mampu menang Liga Juara-Juara

Gary Neville tak yakin Liverpool mampu menang Liga Juara-Juara
Gary Neville tak yakin Liverpool mampu menang Liga Juara-Juara

Liverpool akan berdepan PSG dalam aksi timbal balik di Anfield. Foto AFP

BEKAS pemain Manchester United, Gary Neville, meramalkan Liverpool bakal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) seawal penghujung April ini, namun beliau kurang yakin The Reds mampu memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Liverpool kini berada di landasan terbaik dalam saingan domestik dan bakal menghadapi aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) dengan kelebihan satu gol selepas menang 1-0 di Paris minggu lalu.

Bagaimanapun, prestasi skuad kendalian Arne Slot dalam perlawanan tersebut menimbulkan kebimbangan, memandangkan mereka lebih banyak diasak sepanjang perlawanan di Parc des Princes.

Dengan baki perlawanan di Anfield pada pagi Rabu, pertembungan ini masih terbuka buat kedua-dua pasukan.

Menurut Neville dalam podcastnya pada Ahad Isnin, beliau tidak melihat Liverpool sebagai calon utama untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini, malah berpendapat PSG mampu menyingkirkan mereka lebih awal.

“Saya tidak begitu yakin Liverpool akan memenangi Liga Juara-Juara. Anda tidak boleh menulis nama mereka begitu sahaja, tetapi saya tidak nampak mereka cukup kuat.

“Saya tidak terkejut jika mereka tersingkir minggu ini. Perlawanan ini seimbang 50-50. Liverpool boleh menang, tetapi begitu juga dengan PSG. Mereka adalah pasukan yang baik,” katanya.

Liverpool kini berada dalam kedudukan yang hampir sama seperti tahun 2020 apabila mereka mendominasi EPL tetapi tersingkir awal dari Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Atletico Madrid di pusingan 16 pada 11 Mac tahun tersebut.

Skuad The Reds pastinya mahu mengelak daripada mengulangi sejarah pahit itu, namun mereka perlu meningkatkan prestasi berbanding apa yang ditampilkan di Paris minggu lalu serta babak pertama menentang Southampton hujung minggu lalu.

Scroll to Top