Tahniah kepada tiga jaguh Malaysia, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Gustin, dan Ziyad Zolkefli, yang berjaya mengharumkan nama negara di Paralimpik Paris 2024! Masing-masing mendapat kereta baharu sebagai hadiah hasil kejayaan dan ini adalah inisiatif hebat daripada Chery Malaysia.
Chery Malaysia kali ini tidak melepaskan peluang untuk menghargai usaha luar biasa para atlet dengan memberikan diskaun besar untuk pembelian kereta baru. Korang mesti nak tahu kan tawaran apa yang wira kita dapat? Ni ha antara tawaran hebat yang wira kita miliki.
Liek Hou yang merupakan pemenang pingat emas badminton SU5 dan Bonnie pemenang pingat emas powerlifting masing-masing dapat diskaun 50% untuk membeli kereta Chery. Manakala Ziyad, yang berjaya meraih pingat perak dalam lontar peluru T20, pula mendapat diskaun 30%.
Selain itu, diskaun 20% kepada pemenang pingat gangsa dan diskaun 15% kepada atlet yang layak bertanding di Paris 2024.
Pilihan Kereta Juara-Juara Paralimpik Kita
Setiap atlet ini memilih kereta yang sesuai dengan gaya hidup mereka:
Cheah Liek Hou, yang berjaya mempertahankan emas di Paris, memilih Chery Omoda E5, sebuah kereta elektrik yang berharga RM146,800. Liek Hou berkata “sudah lama teringin nak pakai kereta elektrik, lebih-lebih lagi untuk mengurangkan pencemaran dan mudah untuk kegunaan harian seperti latihan”.
Ziyad Zolkefli, pemenang perak, memilih Chery Omoda 5 berharga RM99,800. Ziyad lebih suka kereta yang nampak sporty dan berwarna hitam, dan dia masih belum bersedia untuk beralih kepada kereta elektrik.
Manakala, Bonnie Bunyau Gustin, yang tidak dapat hadir di majlis tersebut, memilih Chery Tiggo 8 Pro, sebuah SUV berharga RM156,800.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam nada penuh penghargaan bagi pihak atlet, berkata,
“Jadi bagi pihak atlet, kita ucapkan terima kasih kepada pihak swasta kerana bersama kerajaan untuk menghargai sumbangan atlet negara,” katanya.
Ini bukan sekadar hadiah kereta, tetapi juga penghargaan besar terhadap pencapaian para atlet Malaysia yang telah berusaha keras di pentas dunia. Tahniah buat semua atlet kita!