MANILA – Pihak berkuasa di salah satu bandar yang padat dengan penduduk di Filipina menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak satu peso iaitu bersamaan dengan nilai 7 sen untuk setiap lima ekor nyamuk.
Ganjaran itu terpakai untuk semua jenis semua nyamuk yang sama ada mati atau hidup, termasuk larvanya.
Langkah itu susulan peningkatan kes denggi di Filipina baru-baru ini.
Ketua Kampung Barangay Addition Hills di tengah Manila, Carlito Cerna berkata, pemberian tersebut sebagai usaha membendung penyebaran penyakit denggi dengan turut menggabungkan tindakan pembersihan tempatan.
Menurut Cernal, projek kesedaran yang beliau mulakan boleh memberi kesan dalam membendung penyebaran penyakit berkenaan.
“Semakin cepat kita membersihkan persekitaran dan menghapuskan sebarang tempat takungan air bertakung, semakin baik kita dapat melawan denggi,” katanya.
Cernal turut menggesa penduduk untuk melindungi diri mereka dengan penyembur serangga dan pakaian berlengan panjang.

Sekurang-kurangnya 316 orang maut akibat demam denggi berdarah di Indonesia setakat Februari tahun ini. Foto hiasan
Namun, pegawai kesihatan dan pakar di Filipina yang bercakap dengan AFP kurang yakin dengan keberkesanan program berkenaan.
Bagaimanapun, semangat dalam kalangan penduduk tetap tinggi apabila mereka membawa baldi, cawan dan bekas lain yang dipenuhi nyamuk pembawa denggi untuk ditukar dengan wang tunai di balai kampung.
Seramai 21 orang yang menangkap 700 ekor nyamuk telah pun menuntut ganjaran mereka.
Pakar kesihatan awam, Anthony Leachon, memberitahu AFP, beliau mengalu-alukan semua inisiatif anti-denggi, namun program pengumpulan nyamuk di Addition Hills dilihat akan memberikan ‘kesan yang sangat kecil atau tiada kesan langsung’.
Malah, beliau memberi amaran wujud kemungkinan sesetengah penduduk akan memburukkan lagi keadaan dengan sengaja membiakkan nyamuk untuk mendapatkan wang.
Salah seorang penduduk, Rachel Estoque, 45 dengan tidak sengaja membiakkan nyamuk dan membawa hasil tangkapan daripada air bertakung di rumahnya sendiri.
Wanita suri rumah itu memberitahu AFP, dia bangun awal pagi untuk menangkap jentik-jentik yang membiak di dalam air di pasu bunganya.
Hasil tangkapan 20 jentik-jentik itu memberikannya empat peso, cukup untuk membeli sebungkus kecil minyak masak.
Namun, seperti penduduk lain yang menunggu untuk menukar hasil tangkapan mereka, Estoque berkata, wang bukanlah keutamaan utamanya.
“Anak saya pernah menghidap denggi sebelum ini dan saya tahu betapa menakutkan dan sukarnya pengalaman itu… sebab itu saya menyertai projek ini,” katanya. – AGENSI