Ganding bahu untuk hidup tanpa rasuah

Ganding bahu untuk hidup tanpa rasuah

SAUDARA PENGARANG,

RASUAH muncul sebagai satu masalah besar bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia. Rasuah menjejaskan demokrasi negara. Malah rasuah yang paling kecil pun turut memberi kesan kepada kerajaan.  Rasuah sebegini semakin menjadi penyakit yang tidak dapat diubati dalam masyarakat sehingga hari ini.

Maka ia perlu dihapuskan sehingga ke akar umbi. Kesan rasuah amat buruk sekali kerana ia boleh melumpuhkan segala pembangunan yang diusahakan negara secara keseluruhan.

Rasuah turut menjejaskan bakat individu kerana dirampas dan dinafikan peluang. Orang awamlah yang terpaksa menanggung beban dan menderita apabila mereka yang diberikan amanah untuk berkhidmat kepada rakyat melakukan rasuah.

Malah, faedah yang sepatutnya boleh diperoleh daripada kerajaan dinafikan. Rasuah dan penipuan menghalang faedah dan manfaat daripada kerajaan sampai kepada golongan miskin dan mereka yang memerlukan.

Kesilapan yang dilakukan adalah terlepas pandang akan bahaya rasuah. Program antirasuah yang dianjurkan bukan hanya acara sehari. Ia memakan masa panjang untuk melahirkan manusia yang bebas daripada rasuah dan hanya akan berjaya jika individu dan kerajaan bekerjasama dalam menangani masalah ini.

Memberi rasuah tetap salah sepertimana juga dengan menerima rasuah. Oleh itu, jika ingin menjadi sebuah negara yang bebas rasuah, maka semua individu mestilah bertindak dengan bertanggungjawab.

Kita mesti berusaha sedaya upaya untuk mencegah rasuah. Adalah baik untuk semua orang menyedari bahawa menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengambil daya usaha bagi membongkar rasuah jika melihat ia berlaku di depan mata.

Rasuah boleh dihapuskan hanya apabila perubahan berlaku dalam setiap diri individu. Rasuah akan dapat dihapuskan apabila kesedaran mengenainya diwujudkan dalam diri semua orang.

Mari kita bersama-sama berganding bahu bagi menghapuskan rasuah dan membangunkan sebuah negara Malaysia yang bebas rasuah.-UTUSAN

N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan
Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Scroll to Top