Galarza tiada dalam radar TFC

Galarza tiada dalam radar TFC

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) menafikan sedang merisik pemain kelahiran Sepanyol, Aitor Galarza bagi membarisi skuad itu bagi musim 2025/2026.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai kemungkinan kehadiran penyerang muda berusia 23 tahun itu dalam skuad Penyu pada musim depan.

“Saya tegaskan pemain itu (Galarza) tiada dalam radar pasukan TFC bagi mengharungi cabaran Liga M musim 2025/2026.

“Malah kami tidak tahu menahu selain terkejut dengan berita yang tersebar mengaitkan penyerang kelahiran Sepanyol itu bakal menyarung jersi TFC pada saingan akan datang.

“Saya anggap berita tersebar dalam media sosial itu hanyalah spekulasi dan khabar angin, lagipun Liga M masih berjalan dengan berbaki dua perlawanan lagi,” ujar Mohd Sabri ketika dihubungi.

Terdahulu, tular dalam laman sosial menyatakan pemain berketinggian 1.82 meter itu bakal menjadi rekrut terbaharu TFC bagi mengharungi saingan Liga M yang lebih mencabar pada musim akan datang.

Rata-rata peminat memuji tindakan awal dibuat pihak pengurusan TFC ketika saingan liga masih belum berakhir bagi memastikan skuad itu lebih tajam di posisi serangan.

Namun dengan pengesahan itu, peminat mengharapkan pengurusan TFC dapat merekrut pemain lebih berkualiti berbanding pemain import sedia ada yang dilihat kurang menyerlah.

Musim ini, TFC menyenaraikan tiga penyerang import iaitu Ismaheel Akinade dari Nigeria, Nelson Bonilla dari El Salvador dan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang setakat ini masih belum membuat penampilan pertamanya kerana masalah kecederaan serius.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top