Gajah mengamuk, 13 orang cedera

Gajah mengamuk, 13 orang cedera

COLOMBO – Perayaan agama Hindu di Sri Lanka berakhir dengan huru-hara selepas seekor gajah yang terlibat dalam perarakan panik menyebabkan 13 orang cedera ketika mereka melarikan diri.

Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan salah seorang penjaga gajah cuba menarik ekor haiwan yang gelisah itu dalam cubaan terdesak untuk mengawalnya, sambil menjerit meminta orang ramai supaya melarikan diri.

Imej-imej rakaman itu menunjukkan perarakan gajah yang dilitupi kain merah, biru dan emas dari belalai hingga ekor, di hadapan orang ramai.

Tiga belas orang telah dibawa ke hospital dan dirawat kerana cedera ringan di Kataragama, kata jurucakap polis.

Jurucakap hospital Kataragama yang dikendalikan kerajaan berkata, semua yang cedera telah dibenarkan keluar.

Gajah dianggap suci di Sri Lanka,menyebabkan undang-undang kekejaman haiwan jarang dikuatkuasakan.

Kumpulan hak asasi haiwan telah mengkritik penggunaan gajah secara meluas dalam upacara kuil di Sri Lanka.

Ia kerana, haiwan itu kerap kali mengamuk semasa perarakan yang melibatkan muzik kuat dan bunga api.

Pada Ogos 2023, berpuluh-puluh penganut agama terjun ke sebuah tasik di pusat bandar Kandy untuk melarikan dari lima ekor gajah muda yang mengamuk.

Beberapa orang cedera dan seorang wanita dimasukkan ke hospital.

Pada 2019, sekurang-kurangnya 17 orang cedera apabila gajah mengamuk di festival kuil di Colombo.

Rekod rasmi menunjukkan terdapat kira-kira 200 gajah peliharaan di negara pulau itu, bersama-sama dengan populasi liar sekitar 7,500.

Kerajaan telah melarang penangkapan gajah liar tetapi berpuluh-puluh anak gajah telah dicuri dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selalunya selepas ibu mereka dibunuh oleh pemburu. – Agensi