Gajah mati dilanggar treler

Gajah mati dilanggar treler

am@hmetro.com.my

Kluang: Gajah jantan mati dilanggar treler di Jalan Sri Timur, Kampung Gajah dekat sini, kira-kira 10.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemandu treler berusia 53 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan dari arah Mersing menghala ke Kahang Timur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu treler melanggar gajah jantan yang sedang melintas jalan secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

“Gajah tersebut mati di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor yang dihubungi kemudian menguruskan bangkai haiwan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd