TUMPAT: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mematahkan cubaan menyeludup 42,700 biji kelapa ke Thailand selepas menyerbu sebuah stor di pangkalan haram dekat jalan Kasban di sini kelmarin
Serbuan pukul 10.30 malam menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu, PGA turut menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi telah menjumpai 42,700 biji kelapa di dalam sebuah treler.
Menurutnya, anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM 1.2 juta termasuk treler.
“Kesemua lelaki berusia 22 hingga 38 tahun yang ditahan itu dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup kelapa ke negara jiran.
“Kes disiasat dibawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.-UTUSAN