am@hmetro.com.my
Shah Alam: Bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menghormati keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang tidak memilihnya untuk kembali menggalas tugas sebagai Pengerusi DAP.
Pada sidang media pengumuman barisan jawatankuasa tertinggi pusat DAP di sini, hari ini, beliau menjelaskan bahawa beliau menerima keputusan itu kerana ia ditentukan oleh ahli parti dan bukan pihak luar.
“Saya menghormati keputusan yang dibuat tadi oleh CEC. Masa depan saya ditentukan oleh ahli dan bukan orang luar DAP.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Sekarang kita harus bersatu di bawah kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media sama, Anthony berkata pemilihan kali ini menyaksikan beberapa perubahan dalam struktur jawatankuasa tertinggi DAP.
Katanya, langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pemimpin baharu untuk menggalas tugas serta menonjolkan bakat dan kualiti kepimpinan mereka dalam usaha memperkukuh parti.
Selepas mesyuarat pertama CEC sebaik selesai pemilihan parti itu hari ini, Guan Eng gagal mempertahankan jawatan Pengerusi DAP untuk penggal kedua, biarpun berada dalam kedudukan 30 ahli CEC yang dipilih.
Ahli Parlimen Bagan itu sebaliknya dilantik sebagai Penasihat DAP, menggantikan penyandangnya, Tan Kok Wai, yang sebelum ini mengumumkan tarik diri.
Jawatan Pengerusi DAP kini disandang oleh Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo.
Sementara itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban kekal menerajui parti itu sebagai Setiausaha Agung DAP bagi penggal kedua berturut-turut.
© New Straits Times Press (M) Bhd