firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kegagalan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) nyata membakar semangat pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melabur lebih banyak lagi dengan membawa masuk pemain lebih berkualiti musim depan.
Malah, kekalahan tipis 1-0 di tangan Buriram United pada peringkat 16 terbaik ACLE itu dipikul sepenuhnya oleh Tunku Ismail dan mengakui sudah merangka beberapa perubahan bagi memperkasakan skuad Harimau Selatan.
“Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.
“Kami telah mengenalpasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudahpun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas.
“Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan,” katanya di laman sosial Johor Southern Tigers (JST) selepas berakhirnya perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, malam tadi.
Berdasarkan semakan Arena Metro di laman sesawang Transfermark.com, nilai keseluruhan pemain JDT pada musim ini mengikut tanda harga setiap pemain dianggar kelab itu membelanjakan hampir RM70 juta menerusi kemasukan beberapa bekas bintang LaLiga seperti Jese Rodríguez, Alvaro Gonzalez, Samu Castillejo, Jonathan Viera dan Roque Mesa.
Dengan nilai puluhan juta itu, dijangka pelaburan lebih tinggi bakal dilakukan bagi memastikan misi mengetuk pintu suku akhir dapat dicapai.
Dalam aksi timbal balik itu, Buriram United yang dibimbing Osmar Vieira meraih gol tunggal perlawanan menerusi ledakan cantik Suphanat Mueanta di minit 58, di mana jaringan itu sudah cukup untuk membawa juara 10 kali Liga Thailand itu beraksi di pusingan lapan terbaik ACLE musim ini.
Ia sekali gus meranapkan impian JDT yang berhasrat untuk melakar sejarah mara ke suku akhir buat pertama kali dalam penyertaannya di saingan kelab tertinggi Asia itu.
Jelas Tunku Ismail lagi, beberapa keputusan pengadil turut mempengaruhi perlawanan itu namun beliau berbangga dengan usaha tidak berputus asa pemain sepanjang 90 minit aksi itu.
“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi JDT untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia. Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau mengucapkan terima kasih di atas sokongan padu lebih 30,000 penyokong setia dalam perlawanan itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri. Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya,” kata pemangku Sultan Johor itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd