Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta sejak 2017.
Memetik BH Online, langkah itu adalah prosedur selepas pelakon itu gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.
Pada Julai tahun lalu, MARA sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit pada Selasa lalu.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan kebankrapan hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman susulan MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang selepas mahkamah membuat keputusan muktamad.
“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.
“Tiada siapa boleh menghalang tindakan MARA ini kerana ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan,” katanya.
MARA sebelum itu sudah membuka pintu rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi masalah.
“Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam,” katanya.
SUMBER: BH Online