rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sudah merujuk kertas siasatan kepada pendakwaan berhubung kes pergaduhan dua kumpulan penyokong bola sepak di stesen transit aliran ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan di sini, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes itu bagaimanapun masih berjalan.
“Setakat ini polis sudah menahan seramai lapan individu dan kesemua mereka diberi jamin selepas tempoh reman tamat.
“Siasatan juga sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), dan masih perlu dilengkapkan sebelum keputusan dibuat,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Harian Metro terdahulu melaporkan, dua kumpulan individu dipercayai penyokong skuad Harimau Malaya dan pasukan Singapura terbabit pergaduhan di sebuah stesen LRT Bandar Tasik Selatan.
Kejadian dipercayai berlaku selepas tamat perlawanan Piala Asean 2024 kira-kira jam 12 tengah malam.
Rusdi dilaporkan berkata, dua kumpulan itu menaiki tren dari Stesen Bukit Jalil menghala Sentul Timur dan ketika tren tiba di platform Stesen Bandar Tasik Selatan, satu kumpulan penyokong keluar dari tren sebelum berlakunya pergaduhan dengan penyokong kumpulan lain.
Susulan itu, polis menahan dua individu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd