Gaduh ketika memandu, lelaki cederakan pelajar sudah ditahan

Gaduh ketika memandu, lelaki cederakan pelajar sudah ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki yang mencederakan pelajar sekolah menengah akibat berselisih faham ketika memandu dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.24 malam daripada seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mendakwa dipukul seorang lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 2.15 petang akibat perselisihan faham semasa memandu antara dua individu berkenaan.

“Akibat kejadian itu, remaja lelaki retak tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

“Siasatan juga mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan sudah dikenakan tindakan saman trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penasihat agensi pelancongan di sekitar Kajang, pada jam 9.50 malam ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Insp E.N. Chalart Cinda di talian 017-9825510 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 34 saat memaparkan seorang pelajar lelaki berlumuran darah di bahagian hidung di dalam sebuah kereta selepas dipercayai dipukul oleh seorang individu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top