
G7 menggesa Rusia supaya bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari dengan Ukraine, sambil memberi amaran bahawa sekatan tambahan akan dikenakan jika Moscow enggan berbuat demikian – Foto: Agensi
WASHINGTON – Negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) menggesa Rusia supaya bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari dengan Ukraine, sambil memberi amaran bahawa sekatan tambahan akan dikenakan jika Moscow enggan berbuat demikian, lapor RIA Novosti.
“Kami menggesa Rusia supaya memberikan respons dengan bersetuju terhadap gencatan senjata secara adil dan melaksanakannya sepenuhnya.
“Kami membincangkan langkah mengenakan kos tambahan ke atas Rusia sekiranya gencatan senjata ini tidak dipersetujui, termasuk melalui sekatan lanjut, had harga minyak, serta sokongan tambahan kepada Ukraine dan langkah lain,ā menurut kenyataan bersama G7 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Negara-negara berkenaan turut memberi amaran bahawa mereka mungkin menggunakan hasil luar biasa yang dijana daripada aset kedaulatan Rusia yang dibekukan sebagai sebahagian daripada langkah berpotensi terhadap Moscow.
Pada Khamis, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau terbuka untuk gencatan senjata 30 hari di Ukraine seperti yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa gencatan senjata itu hanya boleh diterima jika ia membawa kepada perdamaian berkekalan dan menangani punca utama konflik. – Bernama