Fury Championship julang martabat sukan tempur negara

Fury Championship julang martabat sukan tempur negara

Petaling Jaya: Kejohanan sukan tempur Fury Championship yang dijadual berlangsung pada 2 Mei ini bakal menjadi gelanggang bagi mengangkat martabat sukan tempur tanah air ke peringkat lebih tinggi.

Pengasas Fury Championship Mohamad Faizal Ahmad berkata, beliau ingin menjadikan edisi sulung kejohanan itu sebagai platform utama sukan tempur di Malaysia dan diharap mampu bersaing sama hebat dengan gergasi dunia seperti kejohanan ONE Championship.

Kejohanan diasaskan bersama Mohd Wafiy Ilhan Johan itu akan diadakan di Zepp KL dan menampilkan barisan petarung profesional, pencabar amatur, pempengaruh, serta selebriti yang menjanjikan pengalaman penuh adrenalin bagi peminat sukan tempur.

“Ia bukan sekadar pertarungan tetapi sebuah gerakan untuk memperkembangkan sukan ini, memberikan pengiktirafan kepada altet yang terlibat serta menghadiahkan peminat dengan aksi berkualiti tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Satu daripada aksi yang bakal menjadi tumpuan pada kejohanan itu ialah pertarungan antara Kabilan Jelevan mewakili Malaysia menentang Oky Arema dari Indonesia.

Atlet muay thai negara, Nur Amisha Azrilrizal pula bakal menggalas misi berdepan jaguh seni bela diri campuran (MMA) Indonesia Nurul Azizah dalam kategori wanita.

Dalam masa sama, Mohd Wafiy berharap kejohanan itu dapat merangsang lagi sukan tempur di Malaysia dengan menghimpunkan bakat daripada pelbagai latar belakang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top