Khabib Nurmagomedov (gambar kecil), dihalau dari penerbangan Frontier Airlines selepas terlibat dalam pertikaian dengan kru kabin mengenai tempat duduk di barisan keluar kecemasan.
SHAH ALAM – Syarikat penerbangan, Frontier Airlines memaklumkan satu siasatan berhubung insiden melibatkan bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov sedang dijalankan pihaknya.
Ia susulan dakwaan Khabib menerusi aplikasi X pada Isnin bahawa beliau dilayan secara kasar oleh salah seorang kru kabin wanita dan dihalau keluar dari pesawat terbabit.
Frontier Airlines menerusi platform sama berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku terhadap Khabib yang juga beragama Islam.
βKita sedia maklum dengan insiden berkenaan dan sedang menjalankan siasatan,β katanya pada Isnin.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Khabib dihalau dari penerbangan Frontier Airlines selepas terlibat dalam pertikaian dengan kru kabin mengenai tempat duduk di barisan keluar kecemasan.
Insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid, Las Vegas, apabila pramugari mempersoalkan kesediaan Khabib Nurmagomedov membantu penumpang lain jika berlaku kecemasan di barisan keluar.
Dalam rakaman video yang tular, pramugari berkata, beliau tidak boleh membenarkan Nurmagomedov duduk di situ dan memberi pilihan untuk menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat.