georgie@hmetro.com.my
BUKAN tak biasa melihat perubahan fizikal pelakon, Shaheizy Sam, 43, atau Sam yang kadang-kadang mendadak jadi gemuk dan tiba-tiba pula kurus.
Dia mampu mencapai berat badan keinginannya dalam masa singkat.
Pemilik nama sebenar Shaheizy Sam Abdul Samad ini seakan-akan ada ‘suis’ khas untuk menukar-nukar bentuk badannya.
Dia sendiri mengakui sudah lama bertemu formula tepat untuknya melakukan perkara itu.
Menurut Sam, tiada magis atau apa selain menggunakan pendekatan logik saja. Idolanya dalam perkara itu Nabi Muhammad SAW yang memiliki pendekatan mudah menjaga kesihatan menerusi pemakanan.
“Idola saya adalah Rasulullah. Baginda tak dapat pun kelebihan macam kita makan satu hari tiga, empat kali. Kita tahu Rasulullah kan, kadang-kadang dapur tak berasap, makan kurma.
“Alhamdulillah, sihat dan menang perang lagi. Badan, kalau kita tahu kan, badan Rasulullah. Jadi, kenapa Rasulullah boleh lalui macam itu? Sihat badan, kita makan satu hari satu kali tak boleh. Faham kan?
“Jadi, saya selalu ambil contoh pendekatan logik begitu. Itu saja,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan pelancaran filem Felino dibintanginya, baru-baru ini.
Pelakon Polis Evo itu tidak menafikan ramai yang ambil berat dan tidak kurang mempersoalkan corak penjagaan badannya. Tidak kurang juga yang bimbang dengan kesihatannya.
Contohnya apabila Sam menyarankan pengambilan makanan sekali saja dalam sehari atau ‘one meal a day’. Dia sendiri masih tertanya-tanya apakah tahap nutrisi yang paling tepat untuk badan manusia.
“Jadi, bila orang kata ‘one meal a day’ tidak sihat, tak cukup nutrisi, saya tanya balik. Berapa nutrisi yang cukup untuk satu hari bagi keperluan badan saya ini? Tiada siapa boleh jawab.
“Bila tidak berjawab, maksudnya apa yang saya buat ini cukup nutrisi dan sudah lakukannya lebih 10 tahun pun. Alhamdulillah, Allah bagi kesihatan. Saya tidak ‘lemau’, tak ada.
“Ini kerana badan saya sudah sesuaikan diri dengan ‘one meal a day’. Bila hendak bercerita lanjut mengenai topik ini, memang sangat panjang. Sebab itu saya selalu ‘live’ memang ambil masa berjam,” katanya.
Sempat berkongsi mengenai Ramadan, seperti tahun sebelumnya, Sam memutuskan untuk ketepikan kerjaya seni. Sebaliknya dia banyak fokus kepada perniagaan baju Melayu diusahakannya.
Dia mengakui cukup seronok dapat menjalankan perniagaan itu selama bertahun-tahun. Justeru, tiada masalah buatnya menjana pendapatan meskipun menolak tawaran untuk sebulan.
“Memang setiap Ramadan, saya selalu tak nak bekerja. Saya nak kosongkan untuk jual baju Melayu kurta saya. Saya sudah buat baju Melayu kurta ini sebenarnya daripada 2016.
“Jadi, saya tak nak jalani penggambaran dan fokus kepada meniaga. Itu rutin saya lakukan setiap tahun. Sekurang-kurangnya saya ada masa lebih untuk diluangkan bersama keluarga juga,” katanya.
Sam juga menyatakan keterujaan terhadap sambutan Aidilfitri kali ini berbanding tahun lalu. Menurutnya, dia akan beraya sakan di beberapa negeri termasuk Melaka dan Pulau Pinang.
“Tahun ini saya rasa seronok hendak beraya. Macam tahun lalu rasa duka. Mungkin kematangan itu lebih terasa bila fikir bahawa apa juga kita lalui dalam hidup, kerja dan sebagainya adalah lumrah.
“Jadi, jangan kita rasa tertekan dan berseronok menikmati kehidupan kita. Saya tak tahu nak gambarkan kenapa rasa teruja lebih ingin beraya tahun ini,” katanya.
Tekankan semangat berpasukan
Dalam pada itu, Sam tidak sabar menjayakan filem Felino arahan Areel Abu Bakar serta terbitan pertama daripada Art Ornament dan Heartwork Pictures.
Penggambarannya dijangka dimulakan Ogos depan. Selain Sam, filem itu turut menampilkan Datuk Adi Putra, Fify Azmi, Andy Teh dan Ayez Shaukat.
Sebagai pelakon berkelas tinggi, Sam melihat kelebihan produksi itu adalah pada nama-nama yang terbabit. Justeru, dia yakin untuk menerima tawaran terbabit meskipun belum mendapat skrip penuh.
“Saya sudah berada lebih 30 tahun dalam bidang lakonan ini dan tahu selok-belok perniagaan filem. Hal yang menjadikan perniagaan filem itu berhasil terletak pada semangat berpasukannya.
“Bila dimaklumkan siapa pengarah, pelakon dan sebagainya, saya sedari projek itu pastinya akan boleh pergi jauh. Terus terang, belum ada skrip lagi dan hanya baca sinopsisnya,” katanya.
Sam juga memilih filem yang memiliki jiwa besar untuk diterimanya pada tahap sekarang. Dia melihat elemen itu kuat ada pada Felino dan percaya akan bawa warna berbeza kepada lakonannya.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya banyak pilih filem yang mempunyai jiwa besar. Macam filem Badak yang saya kena naikkan berat badan itu. Skripnya sangat besar, emosi dan jiwanya cukup kuat.
“Sebab begitu juga saya terima Felino. Walaupun ada babak aksi, namun ceritanya masih tekankan aspek emosi. Jadi, saya berfikir kenapa tidak suntik warna berbeza dalam kerjaya saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd