Foodpanda hentikan operasi di Thailand Mei nanti

Foodpanda hentikan operasi di Thailand Mei nanti

Bangkok: Berkuatkuasa 23 Mei ini, Foodpanda akan menghentikan operasi platform, perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan runcitnya di Thailand.

Syarikat induknya, Delivery Hero yang mengumumkan keputusan itu pada Rabu berkata, ia selaras dengan tumpuan Delivery Hero untuk mengoptimumkan geostrateginya.

Katanya, ia sama seperti pemberhentian operasi sebelum ini di negara seperti Denmark, Ghana, Slovakia dan Slovenia.

“Delivery Hero akan terus menumpukan usaha di bahagian lain di Asia Pasifik di mana kumpulan melihat pulangan lebih besar.

“Pasukan serantau kami berpangkalan di Thailand, yang menyediakan perkhidmatan seperti pemasaran dan operasi sumber manusia untuk rantau Asia-Pasifik, akan terus beroperasi seperti biasa.

“Delivery Hero mengucapkan terima kasih kepada pekerja, pelanggan, rakan kongsi dan penunggangnya di Thailand dan komited untuk menyokong mereka semasa tempoh peralihan,” kata syarikat yang berpangkalan di Berlin itu dalam satu kenyataan.

Foodpanda bergelut dalam pasaran penghantaran makanan Thailand yang sangat kompetitif, dengan hanya di bawah 15 peratus, satu pertiga jauh di belakang Lineman Wongnai (44 peratus) dan GrabFood (39.4 peratus).

Dalam pasaran yang dianggarkan bernilai 86 bilion baht (kira-kira RM11 bilion) hanya GrabFood mula melaporkan keuntungan sederhana.

Menurut firma analisis perniagaan Creden Data, Foodpanda mengumpul kerugian bersih sebanyak 13.8 bilion baht (kira-kira RM1.8 bilion) dari 2014 hingga 2023.

Delivery Hero cuba menjual sebahagian daripada perniagaan Foodpanda di Asia Tenggara tahun lalu tetapi tidak dapat mencapai persetujuan dengan bakal pembeli.

Ia gagal mengenal pasti bakal pembeli, namun laporan awal menunjukkan, Grab yang berpangkalan di Singapura adalah pelamar.

Meituan dari China juga dikatakan meneroka potensi pemerolehan Foodpanda untuk memberikan jejaknya di Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top