Fitrah dan kekuatan Logos

Fitrah dan kekuatan Logos

SEPERTI sedia maklum, Plato merupakan anak didik Socrates. Plato boleh dikatakan sangat mengikut method gurunya. Manakala Aristotle pula merupakan anak murid kepada Plato, cumanya cara berfikir Aristotle tidak sama dengan pemikiran gurunya itu. 

Socrates yang merupakan guru Plato, ada mengemukakan satu cara berfikir Rasionalisme yang berasaskan kepada kekuatan Rasional yang disebut sebagai Logos. Cetusan ini susulan daripada kecelaruan pemikiran Sophisme yang diasaskan oleh Protagoras, dan juga suasana semasa Yunani yang terbeku dalam dogma pendewaan.

Advertisement

Plato pula ada membincangkan mengenai fitrah manusia. Beliau mengatakan ada 3 jenis manusia yang mempunyai fitrah yang berbeza-beza;

1. Logos: Iaitu mereka yang sejak lahir diberi kepintaran yang lebih.

2. Thumos: Iaitu mereka yang sejak lahir mempunyai daya juang yang tinggi.

3. Eros: Iaitu mereka yang sejak lahir, mempunyai nafsu yang berlebihan.

Aristotle yang merupakan murid Plato pula mengungkapkan bahawa ‘Manusia secara semula jadinya adalah makhluk politik’. Beliau cuba membezakan antara manusia dan binatang, iaitu manusia mempunyai daya rasional (Logos) yang mendorong mereka berfikir untuk berkumpulan, dan memikirkan kehidupan yang sejahtera untuk kepentingan sesama ‘spesis’ manusia.

Ahli falsafah zaman moden pula ada turut berbincang mengenai fitrah manusia. Antaranya Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Jean Jacques Rousseau (1712-1777). Hobbes berpendapat bahawa manusia itu, fitrahnya bersifat bahaya, jahat dan ganas. Namun begitu, fitrah manusia menurut beliau, masih lagi ada daya rasional mengenai baik dan buruk untuk dirinya. Dengan kata lain, manusia itu akan berfikir dengan rasionalnya (Logos) untuk mencari kebahagiaan dan berusaha menjauhkan diri daripada keganasan. 

John Locke pula membicarakan fitrah manusia sebagaimana yang dicipta oleh Tuhan. Selain melihat dari sudut akal, beliau melihat juga dari dimensi agama Kristian. Menurut beliau fitrah manusia itu bebas, tetapi tidaklah sampai bebas melakukan apa sahaja. Beliau berpendapat bahawa manusia itu, fitrah asalnya adalah baik di samping rasionalnya dan setara haknya dengan manusia lain.

Rousseseau pula agak berbeza dengan kedua-duanya (Locke dan Hobbes). Beliau berpendapat fitrah manusia itu hanya tahu perkara-perkara asasi seperti makan dan minum, dan bersifat bebas. Beliau membayangkan seolah-olah manusia itu adalah evolusi daripada haiwan ‘primate’ yang lain. 

Setelah berkembang (semakin ramai), manusia semakin memiliki perasaan, seperti simpati dan cemburu. Beliau berpendapat seseorang manusia itu boleh kembali kepada fitrah asalnya bukan dengan rasional atau falsafah, tetapi dengan puisi. 

Beliau juga turut berpendapat bahawa apabila manusia itu semakin maju atau bertamadun, segala fikiran dan kelakuannya telah dirantai oleh suasana masyarakat, sepertimana ungkapannya;

‘Man is born free, and everywhere he is in chains.’

Justeru, beliau menyeru supaya manusia kembali kepada fitrahnya, iaitu hidup bebas. Ia ini telah menarik perhatian golongan Naturalisme untuk dikembangkan. John Rawls yang terkenal dengan Liberalisme Moden pula berbicara dari sudut ‘nasib’. Seseorang yang dilahirkan miskin disebabkan latar belakang keluarganya, perlu dibantu supaya ia boleh bebas. Ini kerana menurut beliau, kemiskinan itu membuatkan seseorang itu tidak bebas. Namun, pendapat beliau dikritik hebat oleh Robert Nozick.

Dari sudut pandang Islam pula, para ulamak menghuraikan erti fitrah berdasarkan Hadis Nabi S.A.W;

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapa-nyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ada pelbagai maksud fitrah, cuma ia tidaklah terlalu ketara perbezaan antara satu sama lain. Rata-rata mentakrifkan fitrah itu sebagai asal kejadian. Mafhum daripada Imam Nawawi R.A dan lain-lain menyatakan fitrah itu adalah Islam. Maksudnya setiap yang lahir itu dalam keadaan Islam, atau dengan kata lain lahirnya seorang bayi di dunia itu bukan dalam keadaan kufur kepada Allah.

Fitrah yang disebut dalam Hadis Nabi S.A.W tadi lebih merujuk kepada asal-usul kejadian, iaitu dalam keadaan yang bersih, khususnya dari sudut pegangan akidah dan pemikirannya. Bukan hanya sekadar yang digambarkan Rousseseau sebagai haiwan ‘primate’, bukan juga dikaitkan dengan nasib seperti pendapat Rawls. 

Bahkan, Islam meletakkan kepentingan fungsi keluarga apabila seseorang itu semakin mendewasa. Ya, peranan keluarga mampu memberi kesan terhadap perubahan akidah dan pemikirannya, termasuk daya kekuatan Logos.

Allah S.W.T berfirman:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ 

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

(ar-Rum: 30)

Fitrah yang disebut oleh Allah S.W.T ini adalah Islam. Iaitu kutub asal semula jadi manusia itu adalah seiringan dengan Islam. Sekiranya tidak ada faktor luar yang memberi kesan terhadap peralihan kutub fitrah itu, ia akan kekal ‘original’ seperti asal, iaitu Islam.

Manakala dari segi daya rasional atau kekuatan akal (berfikir) yang disebut sebagai Logos, Islam memandu cara manusia berfikir. Panduan-panduan berfikir dengan betul, sepertimana Allah S.W.T menyuruh supaya manusia melihat ciptaan alam yang luar biasa, dan ciptaan manusia itu sendiri. Allah S.W.T berfirman:

وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ (20) وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ  (21)

“Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin (20) Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (21)”

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 3/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000953077134/posts/5674073349301045/