am@hmetro.com.my
Shah Alam: Firma guaman antara entiti lain yang dikenal-pasti terbabit dalam isu pindah milik tanah secara tidak sah yang membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, firma terbabit terlibat secara langsung dalam melengkapkan urusan pindah milik tanah.
“Sebagaimana kenyataan dibuat pihak berkuasa dan siasatan yang dimaklumkan, ia bukan hanya berlaku di pejabat terbabit (PDT Klang). Ada urusan dengan pejabat peguam (firma guaman).
“Setakat ini, ada pejabat peguam dan ada pegawai dari pejabat berkenaan (PDT Klang) dan itu yang terakhir kita dapat kenal-pasti,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, hari ini.
Menjawab soalan tambahan, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara itu memandangkan ia memberi risiko termasuk pampasan dan kerugian tinggi.
Beliau berkata, keadaan lebih parah sekiranya isu penyelewengan tanah membabitkan transaksi dan pihaknya juga mengambil langkah awal dengan meletakkan kaveat sebagai antara langkah awal penyelesaian.
“Sebab itu kaveat diletakkan lebih awal. Kalau pemaju ingin membangunkan (tanah) dan mereka sudah hantar kebenaran merancang, (tapi) baru kenal pasti masalah. Ini akan beri kesan lebih buruk dan pampasan dan nilaian ganti rugi lebih besar.
“Saya percaya ini satu rompakan yang jelas memberikan kesan kepada hasil negeri dan juga potensi kepada awam,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan setiap pejabat tanah untuk menjalankan audit dan pemeriksaan bagi memastikan peristiwa terbabit tidak berulang walaupun ketika ini, dikenal-pasti hanya satu pejabat tanah yang terbabit.
“Perkara ini turut mencalarkan kredibiliti pentadbiran, imej dan keyakinan kepada pengurusan tanah di Selangor walaupun ia hanya berlaku di satu pejabat tanah,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua berkata, selain tindakan disiplin terhadap pegawai terbabit, turut dilaksanakan adalah program taklimat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta program peningkatan integriti.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga sedang melaksanakan pusingan kerja supaya seseorang pegawai tidak berada di satu tempat terlalu lama dan memungkinkan berlaku peristiwa yang tidak diingini (penyelewengan),” katanya.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak mahu lagi mendengar isu pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diseleweng bagi memenuhi keperluan peribadi seperti dilapor berlaku di PDT Klang sebelum ini.
Justeru, baginda menitahkan semua penjawat awam di negeri ini terutama di PDT serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertugas dengan penuh tanggungjawab serta menjauhi amalan rasuah serta penyelewengan.
© New Straits Times Press (M) Bhd