Fire Cage FC saji pertarungan sengit

Fire Cage FC saji pertarungan sengit

Kuala Lumpur: Peminat sukan tempur bakal disajikan dengan Kejohanan Fire Cage Fighting (Fire Cage FC) yang menampilkan jagoan UFC dan RIZIN di N9 Arena, Negeri Sembilan pada 22 Februari ini.

Kejohanan berprestij yang disertai enam negara ini bakal menyaksikan dua gelaran utama dipertaruhkan dengan pertarungan tumpuan dalam Kejuaraan Dunia Welterweight antara legenda MMA Brazil dan veteran UFC, Gleison Tibau menentang bintang MMA Jepun, Kiichi Kunimoto.

Pertarungan bagi Kejuaraan Dunia Lightweight pula menyaksikan bekas jaguh UFC dari Brazil, Diego Nunes memasuki gelanggang menentang bintang Filipina yang juga bekas Abu Dhabi Warriors, Rolando Dy.

Fire Cage FC membabitkan penyertaan petarung dari enam negara seperti Brazil, Jepun dan Filipina.

Lebih menarik, enam pertembungan tempatan turut diaturkan khas dengan menyaksikan petarung Malaysia akan berpeluang berdepan lawan antarabangsa yang pastinya menjanjikan saingan hebat.

“Bukan hanya membawakan bintang antarabangsa, acara ini adalah mengenai memberi peluang kepada jaguh Malaysia untuk bertarung disamping antara yang terbaik dalam dunia.

“Fire Cage FC meletakkan satu penanda aras baharu untuk MMA di Malaysia dan kami sangat berbangga untuk mempersembahkan barisan yang pelbagai ini,” kata jurucakap penganjur.

Dalam pada itu, peminat juga pasti teruja dengan kehadiran jaguh welterweight Malaysia Agilan Thani yang bakal menentang Garath Vaughan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top