MANILA: Diplomat tertinggi Filipina dengan tegas mengarah Beijing mengalihkan semua kapal-kapalnya yang masih berlegar secara haram di Laut China Selatan.
Pertelingkahan terbaru antara Manila dan Beijing mengenai perairan yang kaya dengan sumber itu meletus Mac lalu selepas beratus kapal China ditemui di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina.
China enggan menarik balik kapalnya dan ketegangan semakin meningkat ketika Manila meningkatkan rondaan maritim di daerah itu.
Setiausaha Luar, Teodoro Locsin yang lantang bersuara di Twitternya, berkata, pendekatan diplomatik yang lembut tidak akan menyelesaikan masalah.
Malah, beliau juga menyifatkan China seperti tidak tahu malu kerana terus menceroboh wilayah perairan yang sudah diputuskan oleh undang-undang antarabangsa.
China menceroboh beberapa kawasan perairan di Laut China Selatan dan menuntut hak milik pada 2012 serta enggan mematuhi keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 mengisytiharkan tuntutan China atas dasar sejarah itu tidak berasas.
Arahan itu dikeluarkan ketika Jabatan Urusan Luar Negeri menuduh pengawal pantai China melakukan ‘provokasi perang’ terhadap kapal Filipina yang terbabit dalam latihan maritim berdekatan Beting Scarborough yang dipertikaikan pemilikannya.
Beting Scarborough yang dituntut China itu adalah antara kawasan perikanan terkaya di rantau ini dan titik tumpuan antara kedua-dua negara yang mempunyai tuntutan bertindih.
Jabatan itu turut menuduh kehadiran kapal China sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Filipina’ dan negara itu berhak mempertahankan haknya.
Kedutaan besar China di Manila tidak memberi maklum balas berhubung perkembangan terbaru itu. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd