Filem tersebar di TikTok, penerbit bakal ambil tindakan undang-undang

Filem tersebar di TikTok, penerbit bakal ambil tindakan undang-undang

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif D’Ayu Pictures, Azaromi Ghozali meluahkan rasa kesal apabila filem terbitannya, Waruga: Kutukan Ilmu Hitam, dimuat naik di aplikasi TikTok tanpa izin.

Menurut Azaromi, dia terkilan apabila hasil titik peluhnya  diperlakukan sedemikian oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan tertentu.

“Filem ini mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 15 Februari 2024 yang lalu dan juga memasuki pasaran Asia Tenggara dengan sambutan hebat di Kemboja.

“Setelah selesai tayangan pawagam, filem ini mula diedarkan ke platform tv seperti Astro First dan Netflix.

“Namun, saya kesal apabila filem ini telah dicetak rompak individu tidak bertanggungjawab dan dimuat naik di TikTok. Mereka ini lebih dikenali sebagai Penjenayah Digital,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, Azaromi turut memaklumkan pihaknya telah mengesan salah satu media sosial yang mendapat sambutan luar biasa dengan 1.1 juta jumlah tontonan selepas memuat naik filem tersebut.

Malah, penerbit itu turut menyifatkan tindakan penonton yang menonton filem tersebut secara percuma seolah bersubahat dengan penjenayah yang menciplak hasil karya digital berkenaan.

“Jika 1.1 juta ni pergi menonton di pawagam, dengan pembelian tiket RM20 pastinya kutipan kasar filem ini adalah RM22 juta.

“Saya sedar bukan mudah untuk memuaskan hati penonton di pawagam dan sudah pastinya bukan boleh dipaksa untuk mereka keluar beli tiket dan menonton di pawagam,” ujarnya.

Difahamkan, Azaromi telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit.

Sementara itu, Pengarah Urusan D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, dia menyokong tindakan penerbit itu melaporkan kegiatan jenayah digital yang dilakukan oleh pihak terbabut.

“Memang saya menyokong tindakan Azaromi sekaligus menjalankan tanggungjawabnya sebagai CEO D’ Ayu Pictures menjaga kepentingan syarikat.

“Saya harap tindakan kali ini memberikan pengajaran buat semua agar ia tidak berulang lagi di dalam industri filem Malaysia,” jelasnya.

Sekadar info, kerajaan telah meluluskan rang undang-undang menambah baik Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang mencadangkan mana-mana individu atau perniagaan yang melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta melalui teknologi penstriman akan dihukum oleh undang-undang.

Pindaan baharu itu juga memperkenalkan hukuman bagi kesalahan berkaitan teknologi penstriman dan mereka yang didapati bersalah akan didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. -UTUSAN

Scroll to Top