KUALA LUMPUR: Berbeza dengan filem pendek lain, video raya Agrobank memaparkan idea berlainan iaitu melibatkan nilai kekeluargaan berlainan kepercayaan dan budaya bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, filem pendek berdurasi lapan minit itu menekankan konsep yang berlainan dengan mengetengahkan kisah sepasang suami isteri mualaf merindui anak mereka yang telah lama tidak pulang ke kampung halaman.
“Pemilihan tema tahun ini sangat bertepatan dengan semangat Aidilfitri untuk saling bermaafan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak adalah kekal dan tidak pernah pudar walau wujudnya perbezaan antara mereka,” katanya dalam majlis pratonton filem web pendek ‘Terimalah Mama dan Papa’ bersama rakan media semalam.
Beliau berkata, permintaan untuk cadangan (RFP) adalah terbuka kepada semua penerbit untuk menyerahkan idea mereka, namun karya milik pelakon dan pengarah, Sabri Yunos terpilih kerana jalan ceritanya tidak ‘cliche’ seperti filem pendek lain serta sesuai dengan tuntutan pihaknya.
Dalam pada itu, Sabri berkata, beliau sudah lama merancang untuk menghasilkan filem seperti itu tapi masih belum berpeluang mengetengahkan idea tersebut.
Sabri berkata, ideanya tercetus apabila dia melihat terlalu banyak filem pendek Aidilfitri yang hanya menunjukkan orang Melayu menyambut perayaan itu sedangkan Hari Raya boleh disambut oleh pelbagai kaum berlainan agama.
“Filem pendek arahan saya ini bukan yang terbaik pun mungkin karya tahun depan lagi menarik,” katanya.
Filem pendek Aidilfitri berjudul ‘Terimalah Mama dan Papa’ boleh ditonton menerusi platform media sosial Agrobank.