Filem Keluang Man bakal cetus fenomena

Filem Keluang Man bakal cetus fenomena

wanasr@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Filem adaptasi watak animasi popular 1990-an, Keluang Man hari ini melancarkan treler rasmi di semua platform media sosial.

Filem adiwira yang menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Nas Muammar Zar atau Nas-T, Datuk Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon dan ramai lagi bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Mei ini.

Penerbit Eksekutif Keluang Man juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya mengumumkan penghasilan filem itu sejak tiga tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha sudah dijayakan.

Menurutnya, antara usaha yang dilakukan pihaknya adalah kerjasama strategik bersama kopi Wonda, kemunculan pertama Keluang Man bersama sutnya pada acara Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67, serta mural gergasi Keluang Man yang diabadikan di Kluang, Johor.

“Keluang Man bukan sekadar sebuah filem, tetapi menyaksikan permulaan bagi Astro Shaw Cinematic Universe yang penuh dengan pengalaman segar.

“Kami teruja untuk memperkenalkan superhero ikonik Malaysia ini dengan cara yang memberi impak merentasi di pelbagai platform,” katanya pada majlis pelancaran treler rasmi Keluang Man di Aurum Theatre, The Exchange TRX, hari ini.

Turut dilancarkan pada majlis itu, poster rasmi serta pengumuman kempen inisiatif strategik komprehensif yang direka untuk pengalaman penonton dan memperkukuhkan kehadiran filem itu di pawagam.

Keluang Man terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run dan rakan strategik Wonda Kopi, serta produksi Pasal Productions diarahkan oleh Anwari Ashraf,

Filem ini bakal membawa pengalaman ‘superhero’ Malaysia melangkaui layar perak dan seterusnya mengukuhkan lagi potensi filem ini untuk melakar fenomena tersendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top