London: Pasukan Lewis Hamilton, Ferrari bakal berdepan penyiasatan menyeluruh oleh FIA selepas Red Bull membuat aduan mengenai sayap belakangnya, menurut laporan semalam.
Musim Formula 1 (F1) 2025 dijangka menyaksikan salah satu perebutan gelaran paling sengit dalam sejarah moden selepas ujian pramusim mendebarkan di Bahrain.
Namun, pemeriksa FIA akan berkunjung ke Maranello untuk memeriksa kereta F1 terbaru Ferrari selepas aduan dari Red Bull semasa ujian pramusim.
Pasukan Christian Horner mendakwa Ferrari dan McLaren menggunakan sayap belakang fleksibel untuk memperoleh kelebihan prestasi.
FIA sebelum ini berjanji untuk mengetatkan peraturan dan menjalankan pemeriksaan sebelum pembukaan musim di Melbourne pada 16 Mac.
Badan sukan permotoran F1 itu akan menumpukan kepada aspek sayap belakang dengan lebih ketat pada Grand Prix (GP) Australia hujung minggu depan.
Pengarah teknikal Red Bull, Pierre Wache, menyatakan kebimbangan minggu lalu, dan memberitahu The Race: “Ia masih berlaku. Saya rasa Ferrari dan McLaren masih menggunakan sistem mini-DRS.
“Penyiasatan tambahan ini akan merangkumi kamera pada sayap belakang semua 10 pasukan, membolehkan FIA memantau sebarang fleksibiliti yang melanggar peraturan.
“Scuderia menolak tuduhan Red Bull dan tidak percaya mereka akan menghadapi “masalah terlalu besar”, menurut media dalam talian Itali FUnoAnalisiTecnica.
Setakat ini, semua kereta dengan sayap yang lulus ujian beban statik FIA dianggap mematuhi peraturan. McLaren telah menukar reka bentuk sayap belakang mereka sekali musim lalu selepas aduan daripada pesaing.
© New Straits Times Press (M) Bhd